TAKLIMAT…Fadillah (tengah) memberitahu kaedah sebenar penggunaan pusingan P kepada pemberita

BINTULU: Sebanyak 225 buah Pusingan P akan dibina di sepanjang 786 Kilometer lebuhraya Pan Borneo Sarawak, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, kaedah pusingan P dipasang bagi memudahkan pengguna berpatah balik ketika berada di lebuh raya sekali gus mengelak berlakunya kemalangan.

“Untuk pusingan P ini, kenderaan boleh memintas dan masuk ke lorong yang mana lebih selamat untuk membuat pusingan kembali kepada jalan mereka nak tuju,” katanya kepada pemberita di Bilik Kenamaan Lapangan Terbang Bintulu, hari ini.

Pusingan P merupakan singkatan jalan dibina khas kepada pengguna jalan sekiranya mereka mahu berpatah balik ke laluan berlainan ketika berada di lebuh raya Pan Borneo.

Orang ramai tidak perlu lagi untuk terburu-buru membuat pusingan U bagi masuk ke laluan yang mana pusingan P  akan lebih memudahkan pengguna untuk mempunyai masa yang lebih sesuai masuk ke laluan berlainan sebelum memulakan semula perjalanan di atas lebuh raya.

Suara Sarawak