Nanta ketika mengadakan lawatan mendadak ke sebuah kilang pembungkusan minyak masak sawit di Jalan Penrissen, di sini, hari ini.

KUCHING: Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu meneliti dan bermesyuarat sebelum membuat apa-apa ketetapan berhubung permohonan Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin untuk menyertai parti itu.

Setiausaha Agung PBB Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, banyak perkara perlu diambil kira sebelum permohonan Willie ini diputuskan.

Setakat ini katanya, PBB masih belum meneliti perkara tersebut malah mesyuarat di pucuk kepimpinan PBB juga masih belum dilaksanakan.

“Perkara seperti ini bukan boleh diputuskan begitu sahaja mahupun diputuskan hanya oleh seorang ahli kerana ia perlu diperhalusi dan mengambil kira pandangan seluruh ahli yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mendadak ke sebuah kilang pembungkusan minyak masak sawit di Jalan Penrissen, di sini, hari ini.

Terdahulu, Willie yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan menjadi ahli parti Bersatu, telah mengesahkan bahawa beliau telah menghantar permohonannya untuk menyertai PBB beberapa bulan lepas, dengan mendakwa bahawa selama ini beliau “secara teknikal” diletakkan dalam parti Bersatu bagi menyokong kerajaan semasa.

Willie memenangi kerusi parlimen Puncak Borneo pada Pilihan Raya Umum ke-14 atas tiket PKR, namun diketepikan oleh parti itu selepas beliau bersama beberapa Ahli Parlimen PKR menarik balik sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan semasa peristiwa “Langkah Sheraton”, sebelum menyertai Bersatu.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak