KUCHING: Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) akan mengkaji dan meneliti syor-syor yang telah dikemukakan mengenai cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, satu draf Rang Undang Undang (RUU) berkaitan pindaan berkenaan akan disediakan oleh Jabatan Peguam Negara.

“Dalam masa yang sama, sesi libat urus turut diadakan bersama pakar-pakar akademik dan ahli Dewan Rakyat bagi mendapatkan pandangan lebih lanjut mengenai cadangan pemansuhan tersebut sebelum dibentangkan di Parlimen pada Oktober depan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kerajaan secara prinsip telah bersetuju dengan cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori selepas Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun.

“Selaras dengan keputusan tersebut satu perjumpaan di antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun telah diadakan pada 20 Jun lalu,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan amat berterima kasih di atas kerjasama semua pihak yang terlibat dalam perkara berkenaan dan berharap RUU itu dapat dilaksanakan dan dikuatkuasakan mengikut garis masa yang telah ditetapkan.

Suara Sarawak