Selepas pelepasan air terkawal HEP Bakun baru-baru ini.

KUCHING: Pelepasan air secara terkawal di Empangan Hidro Elektrik (HEP) Bakun yang dilaksanakan selama dua minggu berakhir pada Isnin lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad (SEB) Bahagian Tenaga, Bunyak Lunyong berkata, pelepasan air itu dilaksanakan bagi menyeimbangkan paras air serta memastikan sumber air mentah untuk bekalan komuniti di sepanjang Sungai Rejang mencukupi.

“Pelepasan air yang bermula pada 30 Mei lalu itu bertujuan menambah paras air sungai yang rendah serta membantu komuniti tempatan mendapatkan bekalan air akibat musim kemarau.

“Ia telah dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB),” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, sepanjang tempoh terbabit juga paras air rendah di kawasan hilir empangan Bakun telah bertambah baik sekali gus memudahkan pengaliran air sungai bagi menampung loji rawatan air sepanjang musim perayaan Hari Gawai yang lalu.

HEP Bakun mempunyai kapasiti simpanan air sebanyak 40 bilion meter padu, dan menahan 30 peratus aliran air dari anak sungai hulu Sungai Rejang dan mengawal kadar banjir di hilir sebanyak separuh termasuk kawasan hilir Belaga, Kapit dan Sibu.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak