MATU: Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman Datuk Dr Juanda Jaya mengakui peredaran masa dan zaman telah membawa perubahan dalam institusi pendidikan negara.

Menurutnya, peluang untuk melanjutkan pelajaran kini telah dipermudahkan dan tidak perlu untuk pergi terlalu jauh.

“Peluang untuk menuntut ilmu dan melanjutkan pelajaran kini berada di depan mata, tidak perlu untuk menuntut ilmu ke institusi yang jauh di luar negara mahupun luar negeri.

“Perkara yang penting, pelajar perlu membuat permohonan yang sesuai dan setimpal dengan keputusan yang diperoleh terutamanya bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya berucap dalam Ekspo Pendidikan Peringkat Daerah Matu di sini kelmarin.

Adun Jemoreng itu berkata, penilaian untuk memilih institusi pendidikan tinggi kini harus sesuai dengan pasaran kerja dan juga keputusan yang diperoleh.

“Bukannya berdasarkan minat semata-mata yang akhirnya kerap menjadi masalah apabila tiba ke alam pekerjaan.

“Kerajaan Sarawak juga telah menyediakan pelbagai institusi pendidikan kemahiran yang bersifat tempatan demi memudahkan pelajar di negeri ini melanjutkan pengajian mereka.

“Kepada lepasan SPM, hanya melalui pendidikan mereka akan dapat mengubah nasib diri dan keluarga dan hanya dengan pendidikan dapat mengubah masa depan dan ia telah pun terbukti,” katanya lagi.

Dalam majlis berkenaan Dr Juanda turut melakukan penyerahan Baucar Bantuan Pakaian daripada Yayasan Sarawak bernilai RM200 kepada 442 pelajar sekolah yang layak dan seramai 18 pelajar cemerlang dalam SPM di Matu turut diberikan Sijil Premium RM500 daripada Yayasan Sarawak.

Pegawai Daerah Matu Wan Hipni Wan Mohamad dan Penolong Pengarah Yayasan Sarawak Jolly Merikan turut hadir.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak