BINTANGOR: Pasukan bomba mengambil masa kira-kira 15 minit mengeluarkan seorang pemandu berusia 24 tahun tersepit di dalam kereta akibat kemalangan di Jalan KJD- Sungai Lelabi, kira-kira jam 9.15, malam semalam.

Kemalangan membabitkan pertembungan dua kenderaan itu mengakibatkan kereta dipandu mangsa remuk teruk pada bahagian hadapan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pemandu kereta Kancil didapati tersepit di bahagian tempat duduknya.

“Mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira 15 minit kemudian. Seterusnya dibawa ke Hospital Sarikei oleh pihak ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, dedahnya pemandu bagi kereta Persona tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, kerja-kerja pembersihan jalan daripada sisa-sisa kemalangan dan tumpahan minyak turut dilakukan.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.43 malam.

SELAMAT…Pasukan operasi bomba menyelamat mangsa tersepit

Suara Sarawak