KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyuarakan kebimbangan berhubung pemansuhan ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dilihat akan membebankan tugas guru.

Presidennya Zulkiflee Sebli berkata, langkah Kementerian Pendidikan (KPM) yang sebaliknya memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) akan menjadikan sebilangan guru tidak bersetuju dan lebih memilih kepada peperiksaan awam.

“Sebelum pemansuhan PT3, guru-guru sudah didedahkan dengan pentaksiran berasaskan bilik darjah (PBD).. sememangnya pemansuhan ini tiada isu kepada guru-guru cuma dari segi tugas, beban guru akan bertambah,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Menjelas lanjut, katanya Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga akan sentiasa meminta pelaporan dan data dari sekolah sekali gus menyebabkan guru terpaksa mengejar tarikh tertentu untuk menyiapkan laporan PBD.

“Dalam kesibukkan melaksanakan Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPC), guru-guru juga terpaksa mengejar tarikh selain terpaksa mengisi data, pelaporan dan sebagainya.

“Justeru, KPM perlu memperincikan mekanisma yang memudahkan dan mengurangkan beban guru dalam menjalankan pentaksiran berkenaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga menyuarakan kerisauan akan tumpuan yang diberikan oleh pelajar tingkatan tiga ini apabila ia digantikan dengan kaedah pentaksiran PBS.

Hal ini kerana katanya, murid-murid lebih fokus kepada peperiksaan berbanding pentaksiran kerana tumpuan ke arah peperiksaan lebih diutamakan mereka.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin mengumumkan pemansuhan ujian PT3 yang diguna pakai sejak 2014 dan digantikan dengan PBS.

Presiden KGBS Zulkiflee Sebli

Suara Sarawak