Nazari menunjukkan sebahagian minyak masak sawit tulen yang disorok di dalam stor tingkat atas sebuah pasaraya di Tanjung Kidurong

BINTULU: Pemilik sebuah pasar raya di Tanjung Kidurong, di sini berdepan hukuman denda sehingga RM1 juta selepas didapati menyembunyikan minyak masak sawit bersubsidi.

Perbuatan pemilik pasar raya terbabit terbongkar selepas pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Bintulu melakukan pemeriksaan menerusi Ops Anti Sorok di premis terbabit, semalam.

Ketua Cawangan KPDNHEP Bintulu, Nazari Hassan berkata hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 21 kotak minyak masak sawit tulen jenama Vesawit dua kilogram (kg), 14 kotak minyak masak sawit tulen jenama Tilapia dua kg dan enam kotak minyak masak tulen jenama Tilapia lima kg disimpan dalam stor di tingkat atas premis pasar raya terbabit.

Beliau berkata siasatan lanjut akan dijalankan ke atas pemilik premis di bawah Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Katanya, bagi kesalahan-kesalahan yang disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua–duanya sekali.

Manakala bagi syarikat atau pertubuhan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.

Pada masa sama, Nazari mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga minyak masak sawit tulen berbotol yang diumumkan penarikan subsidinya bermula 1 Julai ini.

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Bintulu melakukan pemeriksaan dalam Ops Anti Sorok.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak