KUCHING: Seorang penjawat awam dijatuhi hukuman denda RM2,400 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, dua tahun lalu.

Tertuduh Akmal, 35, yang merupakan penolong jurutera mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Dia juga berdepan hukuman penjara empat bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda serta diperintah menjalani pengawasan polis selama dua tahun selepas membayar denda atau menjalani hukuman penjara.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memasukkan dadah terlarang jenis Methamphetamine dan Amphetamine ke dalam badannya di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching, kira-kira jam 12.20 tengah malam, 17 Mei 2020.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak