RAKAMAN KENANGAN… Abang Johari (tiga kiri) dan isterinya Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang (tiga kanan) merakam gambar kenangan pada Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun Ke-50 Yayasan Sarawak di Hotel Pullman dekat sini, malam tadi.

KUCHING: Tiada larangan untuk penjawat awam di Sarawak menggunakan bahasa Inggeris bagi urusan rasmi, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, dalam Perlembagaan Sarawak terdapat dua bahasa rasmi yang boleh digunakan di negeri ini.

“Walaupun kita mengutamakan bahasa Malaysia tetapi kita juga memberikan keutamaan kepada penggunaan bahasa Inggeris, ini adalah pendirian dan polisi kita di Sarawak.

“Justeru, tiada denda untuk penjawat awam di negeri ini menggunakan bahasa Inggeris dalam melaksanakan urusan rasmi.

“Bagaimanapun, perkara ini berbeza dengan penjawat awam persekutuan…saya tidak tahu ini kerana master (ketua) anda berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun Ke-50 Yayasan Sarawak di Hotel Pullman dekat sini, malam tadi.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali berharap agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat meneliti tindakan yang boleh dikenakan ke atas pihak yang mengambil mudah arahan berkaitan pemerkasaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan tersebut.

Suara Sarawak