KUCHING: Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bagaikan lautan merah apabila dibanjiri lebih 2,000 perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang datang daripada seluruh pelosok Sarawak.

Ada yang sanggup datang dari jarak lebih 1,000 kilometer (km) dari utara Sarawak, semata-mata bagi menghadiri Perhimpunan Agung PBB Ke-15 yang berlangsung selama tiga hari, dari 17 hingga 19 Jun.

Hari kedua, hari ini menyaksikan semua kepimpinan induk, wanita dan pemuda sehingga ke peringkat akar umbi hadir dengan bangga mengenakan pakaian rasmi parti keramat mereka.

Malah dewan bergema dengan lagu-lagu keramat persatuan ketika persidangan disempurnakan oleh Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Presidennya Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Hadir sama Timbalan Presiden PBB II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ketua Pergerakan Wanita PBB Datuk Seri Fatimah Abdullah; Mantan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Gerald Rentap Jabu dan ahli perwakilan yang lain.

Presiden-presiden parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang lain turut tidak ketinggalan termasuk Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Presiden PRS Datuk Joseph Salang Gandum dan Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing.

Dalam pada itu, program yang diadakan bukan sahaja bertumpu kepada perhimpunan PBB, tetapi lebih 20 reruai membuat pameran di sekitar BCCK.

Antara pameran yang diadakan termasuk Unit Perancangan Ekonomi Sarawak; Unit Servis Pemodenan Sarawak; Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak; Jabatan Wanita Dan Keluarga Sarawak; Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Sarawak Tourism Board dan lain-lain.

Sementara, ada juga yang mempamerkan pakaian dan makanan seperti yang terdapat di reruai (booth) Tupong, Mulu, Satok, Sadong Jaya, Kapit dan sebagainya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak