KUCHING: Pertandingan Joran Tanjong Datu ‘Tok Nan Open Sea Fishing Competition 2022’ melabuhkan tirainya sebentar tadi dengan menyaksikan penguasaan hebat peserta pilihan dari sembilan kategori yang dipertandingkan.

Apa yang pasti, kelibat Ahmad Razali paling mencuri tumpuan yang berjaya membawa pulang wang tunai RM4,000 keseluruhan.

Beliau mengungguli kategori ikan terberat dengan hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 selepas berjaya mendarat ikan gelama seberat 15.30 kilogram.

Selain itu, beliau juga berjaya memenangi kategori ibu gelama yang menyaksikan wang tunai RM1,000 turut menjadi miliknya.

Tempat kedua dan ketiga kategori ikan terberat jatuh kepada Hadyan Abdul Rahman dan Baharuddin Ismuni yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,500 dan RM2,000.

Manakala, tempat kedua dan ketiga kategori ibu gelama jatuh kepada individu sama (Hadyan Abdul Rahman dan Baharuddin Ismuni) sekali menyaksikan kedua-dua mereka menerima wang tunai RM800 dan RM600.

Dalam pada itu, Fauzi Aing, Yajik Johny dan Lokman Wahab masing-masing mengungguli tempat pertama, kedua dan ketiga kategori jenahak.

Saypol Sallehuddin, Hasiah Suni dan Ibrahim Ismail pula muncul pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga kategori kerapu.

Di samping itu, Hasni Wat, Abdul Latiff Asli Abdullah dan Mohamad Iqbal Sudin mengungguli tempat pertama, kedua dan ketiga kategori bayan/ketarap.

Tempat pertama kategori tenggiri pula milik Abidin Mohd. Razali, tempat kedua Yunus Omar dan ketiga milik Mohamad Abdullah Bakar.

Bagi kategori alu-alu/talang-talang menyaksikan Addy Saiful Kaderi muncul pemenang tempat pertama, tempat kedua dan ketiga milik Faizzie Norden dan Hazwan Zaidi.

Diikuti kejayaan Maddarus Zainuddin muncul pemenang tempat pertama kategori mayong/gagok.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing milik Azemi Abdul Wahab dan Faizzie Norden.

Selain itu, Zaidi Abdullah, Ibrahim Ismail dan Mohamad Hata Jamil masing-masing menduduki tempat pertama, kedua dan ketiga kategori gerepoh/ebek/jemuduk/gerong belang.

Semua pemenang tempat pertama hingga ketiga masing-masing menerima wang tunai RM1,000, RM800 dan RM600.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

SERAH…Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada Ahmad Razali (kiri) sambil disaksi sama Azizul Anuar Adenan (tengah) dan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kiri sekali).

Suara Sarawak