PERIKSA: Anggota PGA dari Kompeni C Batalion 12 PGA Limbang memeriksa kotak mengandungi telur penyu yang cuba diseludup.

LAWAS: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak mematahkan cubaan dua lelaki tempatan menyeludup keluar 11,700 biji telur penyu di sini.

Komander Briged Sarawak PGA Senior Asisten Komisioner Dr Che Ghazali Che Awang berkata, kedua-dua suspek berumur 31 dan 37 tahun itu ditahan dalam Operasi Bersepadu Khazanah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Merapok, Lawas, kelmarin.

“Kompeni C Batalion 12 PGA Limbang telah menahan sebuah pikap dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 10 pagi.

“Hasil pemeriksaan lanjut telah menahan dua suspek beserta barang rampasan sebanyak 13 kotak mengandungi sejumlah 11,700 biji telur penyu.

“Kesemua telur penyu itu dipercayai untuk dipasarkan ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jumlah rampasan dianggarkan sebanyak RM109,250 termasuk sebuah kenderaan bernilai RM80,000.

Katanya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak SFC Bahagian Lawas untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 29 (1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998.

TAHAN: Dua lelaki warga tempatan ditahan cuba menyeludup sejumlah 11,700 telur penyu.

Suara Sarawak