KUCHING: Persatuan Hoki Negeri Sarawak (PHNS) komited dalam membangunkan sukan hoki di negeri ini bagi menambat hati peminat dan penggiat sukan hoki di seluruh negara.

Presiden PHNS Datin Mary Sadiah Zainuddin berkata, pendekatan awal yang dilakukan pihaknya bagi membangunkan sukan ini adalah dengan menganjurkan Kejohanan Hoki Dalam Dewan 2022.

Menurutnya, kejohanan terbabit dianjur dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).

“Ia akan berlangsung di tujuh bahagian bermula di Kuching (4-6 Jun), Serian (2-3 Julai), Betong (6-7 Ogos), Sibu (6-7 Ogos), Mukah (6-7 Ogos), Bintulu (2-3 Julai) dan Miri (2-3 Julai),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Peralatan Sukan Hoki Dalam Dewan di Stadium Hoki Negeri Sarawak, Jalan Padungan, pagi tadi.

Tambah beliau, kejohanan terbabit juga dibuka kepada pelbagai peringkat umur.

“Manakala juara setiap bahagian dari kedua-dua kategori layak secara automatik bersaing di peringkat negeri,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, tarikh dan gelanggang untuk saingan peringkat negeri akan diumumkan kemudian.

Hadir sama Pengurus, Bahagian Pembangunan Sukan, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Ahmad Rodzli Hashim.

SIMBOLKK…Ahmad Rodzli Hashim (kiri) menyerah peralatan kepada wakil dari bahagian terlibat sambil disaksikan sama Presiden PHNS, Datin Mary Sadiah (kanan).

Suara Sarawak