Sim (tengah) bergambar bersama graduan Kolej Antarabangsa FAME selepas menghadiri Majlis Graduasi Kolej Antarabangsa FAME, di sini, hari ini.

KUCHING: Pil antiviral Paxlovid, keluaran Pfizer untuk kegunaan rakyat bagi menggantikan sistem suntikan vaksin dalam fasa endemik Covid-19 kini sudah mula dibekalkan ke Sarawak, kata Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Bagaimanapun kata Timbalan Premier Sarawak itu, buat masa ini ia hanya dibekalkan ke hospital kerajaan sahaja dan tidak tersedia di mana-mana farmasi di seluruh negeri.

“Hal ini kerana, pil ini merupakan ubat baharu dan ia perlu sentiasa dipantau dan ditetapkan oleh pakar berdasarkan kriteria serta peraturan yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Graduasi Kolej Antarabangsa FAME, di sini, hari ini.

Tambah Sim, pil antiviral ini juga tidak boleh diberikan kepada pesakit Covid-19 secara rawak dan sembarangan.

Jelasnya, ia tidak sesuai bagi pesakit kategori 1 (tanpa gejala) dan Kategori 2 (gejala ringan) kerana pil ini lebih diutamakan untuk pesakit kategori 4 (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen) dan Kategori 5 (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator).


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak