PERALATAN… Mesin melombong Bitcoin dirampas untuk tindakan lanjut.

PADAWAN: Polis menyerbu sebuah premis yang dipercayai menjalankan kegiatan melombong wang bitcoin dengan membuat penyambungan elektrik secara haram di Jalan Matang-Batu Kawa, di sini Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, satu laporan telah dibuat pada 7 Jun lalu oleh seorang juruteknik Sesco yang membuat pemeriksaan pada premis tersebut mendapati penggunaan arus elektrik yang tinggi di premis tersebut.

Beliau berkata, premis berkenaan diserbu kira-kira jam 10.20 pagi oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sarawak dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan serta pasukan operasi Sarawak Energy Berhad (SEB).

“Pemeriksaan mendapati terdapat penyambungan haram aliran arus elektrik tanpa melalui meter elektrik Sesco dan terdapat mesin melombong Bitcoin yang sedang beroperasi.

“Semasa pemeriksaan, tiada tangkapan dilakukan memandangkan premis tidak berpenghuni,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, beberapa peralatan yang digunakan untuk melombong mata wang Bitcoin iaitu 63 unit mesin melombong aktif, satu set komputer, satu unit modem wifi, empat unit router, satu kotak kabel, satu kotak kabel LAN dan 78 unit melombong yang tidak aktif.

“Anggaran keseluruhan kerugian dialami oleh pihak SEB berjumlah RM96,500 bersama nilai rampasan keseluruhan lebih kurang RM88,500,” katanya.

SERBU- Pasukan polis dari JSJ IPK Sarawak dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan bersama pasukan Sesco menyerbu premis menyombong Bitcoin.

Suara Sarawak