Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemu-bual semasa mengadakan lawatan kerja ke Lily Pond, Kapit hari ini. Foto : UKAS

KAPIT: Kerajaan Sarawak meluluskan beberapa projek yang diajukan oleh wakil-wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bahagian ini, bersempena dengan sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata telah meluluskan sebanyak RM190 juta untuk membesarkan jalan di bandar Kapit menuju ke jalan raya utama.

“Ini diharapkan dapat mengurangkan kesesakan trafik di Kapit,” katanya ketika ditemu-bual semasa mengadakan lawatan kerja ke Lily Pond, di sini hari ini.

Terdahulu, Abang Johari menghadiri sambutan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Peringkat Sarawak di sini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib serta Menteri di Jabatan Premier Sarawak selaku menteri bertanggungjawab bagi sambutan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Peringkat Sarawak, Datuk John Sikie Tayai.

Selain itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak juga akan menambah lampu isyarat pintar di sini.

“Saya telah meminta pihak kerajaan tempatan dan juga Kementerian Pengangkutan untuk datang ke sini bagi melihat bagaimana untuk menempatkan lampu isyarat pintar di Kapit…ini perkara pertama,” katanya.

Abang Johari turut menyifatkan kesesakan trafik yang berlaku di Kapit, sebaik sahaja bahagian itu dilengkapi dengan jalan raya menggambarkan bahawa pembangunan dan juga ekonomi di kawasan Hulu Rayang telah meningkat.

“Ini menunjukkan sudah ada kenaikan pendapatan masyarakat luar bandar di kawasan ini.

“Kita tidak dapat menafikannya (kenaikan pendapatan) kerana kalau tidak, tidak ada kereta…disebabkan itu, maka jalannya sesak,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari turut meluluskan pembangunan di kawasan Lily Pond yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM2 juta, sekaligus menjadikannya sebagai tarikan pelancong.

“Saya rasa dalam masa empat tahun ini, kegiatan ekonomi akan meningkat di Bahagian Kapit, lebih-lebih lagi dengan lapangan terbang di Bukit Mabong akan siap.

“Ini akan membuka Hulu Rajang, ia akan terus ke Baleh, Belaga dan Bintulu…inilah rancangan jangka panjang,” katanya.

Foto: UKAS
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa mengadakan lawatan kerja ke Lily Pond, Kapit hari ini. Foto: UKAS

Suara Sarawak