Menteri di Jabatan Premier Sarawak yang juga Naib Presiden PRS Datuk John Sikie Tayai (tiga kanan) melawat Bazar Gawai Dayak di Dewan Masyarakat MBKS di sini, malam tadi.

KUCHING: Pucuk pimpinan Parti Rakyat Sarawak (PRS) belum lagi membincangkan mengenai permohonan Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang untuk menyertai parti itu.

Naib Presiden PRS Datuk John Sikie Tayai berkata walaupun PRS sememangnya sudah menerima permohonan daripada Jugah, yang kini merupakan ahli parlimen bebas untuk menyertai parti itu namun keputusan untuk menerima atau tidak Jugah masih belum dibuat.

“Memang permohonan sudah dikemukakan tetapi terpulang kepada pucuk pimpinan PRS.

“Kami belum adakan mesyuarat berhubung perkara ini (sama ada terima Jugah atau tidak),” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan penutupan Bazar Gawai Dayak di Dewan Masyarakat MBKS di sini, malam tadi.

Sikie, yang juga Menteri di Jabatan Premier Sarawak, diminta mengulas mengenai pendedahan Jugah baru-baru ini bahawa beliau telah menolak untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan sebaliknya telah memohon untuk menyertai PRS.

Beliau menambah jika keputusan daripada presiden dan timbalan presiden PRS telah dibuat, maka ia akan diketahui sama ada Jugah telah diterima menyertai parti itu.

“Ia dilihat sebagai positif kerana beliau (Jugah) memilih menyertai PRS tetapi kami menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memutuskan sama ada menerima atau tidak,” katanya.

Jugah minggu lepas mendedahkan bahawa beliau telah mengemukakan permohonan keahliannya ke dalam PRS, salah sebuah parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) sejak tiga bulan lalu dan tidak berhasrat untuk menyertai PBM.

Beliau mendedahkan PBM telah mempelawanya menyertai parti itu beberapa bulan lalu tetapi beliau menolaknya kerana lebih suka menyertai PRS dan GPS.

“Saya percaya cara terbaik untuk berkhidmat dan membantu pengundi saya adalah melalui GPS.

“Sejak saya mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan persekutuan sekarang sebagai bebas dan memohon untuk menyertai GPS, saya rasa saya sudah menjadi sebahagian daripada GPS,” katanya.

Beliau berkata kini terserah kepada kepimpinan tertinggi PRS dan Premier Sarawak selaku Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memutuskan permohonannya.

Jugah memenangi kerusi Parlimen Lubok Antu pada 2018 sebagai calon bebas.

Beliau menyertai PKR tidak lama kemudian dan kemudian berpaling tadah pada Jun 2020 untuk menyokong Perikatan Nasional sebagai bebas.

Sementara ditanya mengenai persiapan PRS menghadapi pilihan raya umum akan datang, Sikie berkata PRS sentiasa bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

“Jentera pilihan raya parti kami sudah bersedia untuk menjalankan tugas mereka.

“Kami bersedia untuk pilihan raya pada bila-bila masa,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak