Abang Johari menyempurnkan Majlis Sambutan Gawai Dayak 2022 di BCCK, hari ini

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan masa sesuai bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya akan mengikut keputusan perdana menteri dalam pembubaran Parlimen kerana ia kuasa Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Sabri yang berpendapat sekarang bukan masa sesuai untuk mengadakan PRU-15 kerana negara sedang berdepan pelbagai isu seperti kenaikan kos sara hidup dan kadar inflasi yang tinggi.

“Sarawak tidak mempunyai masalah kerana pembubaran Parlimen diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan, jadi terserah kepada perdana menteri,” jawabnya ringkas.

Pengerusi GPS itu berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Gawai Dayak 2022 di Kuching, hari ini.

Sementara mengulas mengenai usaha Kerajaan Sarawak menangani inflasi, ujarnya inisiatif yang diambil susah dibentangkan olehnya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) minggu lalu.

Dalam ucapan penggulungannya, Abang Johari berkata pihaknya akan memperkenalkan diskaun ke atas tarif elektrik kepada pengeluaran peruncit makanan termasuk kedai kopi, restoran dan industri lain untuk mengurangkan kos perniagaan sekali gus mengurangkan harga pasaran makanan.

Katanya, semua itu disebabkan oleh ketegangan geopolitik semasa yang membawa kepada inflasi yang diimport dan prestasi ringgit berbanding USD yang merosot 0.7 peratus pada suku pertama 2022.

Abang Johari menyifatkan mata wang Malaysia yang semakin lemah akan meningkatkan harga import, sekaligus membebankan kedua-dua pengguna dan pengimport.

Tambahnya memandangkan Malaysia adalah pengimport bersih makanan, inflasi yang diimport telah menyebabkan harga makanan di dalam negeri lebih tinggi.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak