
BAU: Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol menyerahkan kepada pucuk pimpinan Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri dan pusat untuk menentukan nasibnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bagaimanapun, beliau berkata bersedia untuk mempertahankan kerusi itu sekiranya dicalonkan semula.
“Kalau parti mengizinkan, ya saya akan pertahankan (kerusi Mas Gading). Saya yakin akan berdiri semula, atas parti DAP,” katanya.
Mengulas mengenai kekurangan aktiviti yang dilakukan sepanjang penggal lalu, Mordi mengakui ia berpunca daripada tahap kesihatan yang kurang memberansangkan.
Tambahnya ketiadaan peruntukan juga menyukarkan untuk mengadakan program di kawasan parlimennya.
Untuk rekod, pada PRU-14, Mordi memperoleh 12,771 undi sekali gus menewaskan penyandang Datuk Anthony Nogeh Gumbek (9,747 undian) yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) ketika itu.