Mohd Azman (dua kiri) bercakap pada sidang media di IPK Sarawak, di sini hari ini. Turut kelihatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata (kiri), Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak Asisten Komisioner Mustafa Kamal Ghani Abdullah (tiga kiri) dan Timbalan Jabatan Sisatan Jenayah Narkotik Sarawak Superintendan Wong Leong Meng (kanan).

KUCHING: Polis menahan seramai 21 individu menerusi serbuan di sebuah pusat hiburan di Tabuan, di sini pada 15 Jun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, Operasi Pusat Hiburan itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak bermula jam 12.30 malam hingga 2 pagi.

Katanya, suspek yang ditahan terdiri dari 17 lelaki dan empat wanita berumur dalam lingkungan 20 hingga 51 tahun.

“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati 15 lelaki dan empat wanita positif dadah jenis methamphetamine manakala dua lelaki berusia 30 dan 40 tahun negatif.

“Modus operandi adalah suspek mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki tempatan dan bekalan dadah yang diperolehi akan dijual kepada pengunjung pusat hiburan mengikut permintaan,” katanya pada sidang media di IPK Sarawak, di sini hari ini.

Beliau berkata, dua orang lelaki disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, seorang lelaki disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan 39A(1) ADB 1952.

Manakala katanya, 14 orang lelaki disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 sementara empat orang perempuan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Enam orang suspek yang ditangkap mempunyai rekod lampau kes dadah,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Mohd Azman berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah iaitu 46 paket jus ekstasi, 150 biji pil erimin 5, 99 biji pil ekstasi dan 25.23 gram ketamin bernilai RM37,419.

Katanya, pihak polis turut menyita wang tunai berjumlah RM3,425 dan sebuah kereta bernilai RM40,000 di bawah Seksyen 25 Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan harta) 1988.

Dalam pada itu katanya, reman ke atas dua orang suspek di bawah Seksyen 39B ADB 1952 telah diluluskan oleh Majistret Kuching selama lima hari bermula 16 Jun lalu sehingga hari ini dan sambungan reman dibenarkan mulai esok hingg 27 Jun.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak