KUCHING: Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) Kuching, yang pertama seumpamanya di Sarawak dijangka mula beroperasi pada 1 September depan.

Fatimah mempengerusikan mesyuarat penyelarasan CSSC Sarawak secara hibrid di sini, malam tadi.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, bertempat di Wisma Hoholim, Jalan Abell, pusat itu bakal menjadi tempat rujukan, sokongan dan intervensi sosial bersepadu bagi komuniti terkesan isu sosial.

“CSSC Kuching merupakan kerjasama antara Kerajaan Sarawak, pihak swasta dan turut melibatkan pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan.

“Antara perkhidmatan ditawarkan termasuk bantuan, perkhidmatan sosial dan kebajikan, tempat transit sementara bagi perlindungan mangsa krisis keluarga, pusat latihan untuk wanita dan kanak-kanak yang terkesan akibat isu dan masalah sosial.

“Dalam masa yang sama menyediakan bank makanan bagi golongan gelandangan dan kumpulan yang memerlukan; aktiviti mesra remaja dan kanak-kanak; perkhidmatan kesihatan mental, psikologi dan kaunseling komuniti dan ruangan perusahaan sosial,” katanya.

Fatimah berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan CSSC Sarawak secara hibrid di sini, malam tadi.

“Diharap ia mampu menjadi pusat rujukan intervensi dan sokongan sosial bersepadu dalam komuniti yang unggul di Sarawak dan menjadi model untuk bahagian lain termasuk Sri Aman, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Lawas,” katanya lagi.

Suara Sarawak