Rompak: tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen oleh anggota polis di sini, hari ini.

KUCHING: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun mengaku bersalah kerana merompak sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Sentah Segu, Siburan, awal Jun lepas.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas satu pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Dayang Ellyn menetapkan tarikh sebutan semula kes bagi laporan sosial pada 1 Ogos depan, memandangkan tertuduh merupakan pesalah muda.

Selain itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dilanjutkan reman sehingga tarikh sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merompak sejumlah wang tunai, puting susu bayi silikon, pemetik api, dan sekotak air minuman satu liter, kira-kira jam 3.40 pagi, 1 Jun lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, tertuduh dipercayai melakukan perbuatan itu kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurfazlin Mahmad Zulhasnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak