KUCHING: Seorang remaja perempuan warga asing dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana terlibat dalam aktiviti pelacuran.

Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh berusia 18 tahun itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara dua bulan terhadap tertuduh yang berasal dari Vietnam sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa terlibat dalam aktiviti pelacuran di sebuah bilik pangsapuri di Jalan Stutong, sekitar jam 3 petang, 25 Mei lalu.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372B kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, sepasukan polis dari Cawangan D7 IPD Kuching telah melakukan satu serbuan Op Noda di sebuah pangsapuri berjaya menahan seorang wanita warga asing dan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran.

Hasil pemeriksaan, menjumpai sekeping kondom dan sejumlah wang tunai RM300.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh telah menawarkan perkhidmatan seks dengan kadar bayaran RM300 kepada pelanggan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-TAMAT-

Suara Sarawak