MATU: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM130 juta bagi melaksanakan projek pembinaan Jalan Igan ke Sibu.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, laluan baharu itu djangka siap sepenuhnya dalam masa tiga tahun.

Justeru, katanya projek berimpak tinggi itu bakal memberi kemudahan kepada rakyat bukan sahaja di Igan tetapi juga seluruh Sarawak.

“Kesan pembinaan jalan ini cukup besar, jadi saya telah minta anggaran kos yang diperlukan bagi tujuan pelaksanaannya.

“JKR memberi anggaran sebanyak RM130 juta, kita luluskanlah jumlah itu,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Matu 2022, di sini hari ini.

Abang Johari berkata, pelaksanaan projek itu merupakan sebahagian komitmen kerajaan sarawak untuk menyediakan kemudahan terbaik yang diperlukan rakyat.

Selain itu, katanya kerajaan juga sedang giat melaksanakan projek pembinaan jambatan Igan yang menelan kos sebanyak RM285 juta.

“Ini merupakan sebahagian usaha kita untuk memastikan kawasan Jemoreng dan Igan terus membangun seiring dengan pembangunan semasa.

“Kita sudah mempunyai jambatan Igan yang menelan kos kira-kira RM285 juta dan kini tambahan satu lagi projek bernilai RM130 juta.

“Dalam beberapa tahun sahaja, saya memberi anda hampir RM500 juta untuk kawasan ini,” katanya.

Pada masa sama, Abang Johari turut meluluskan peruntukan untuk beberapa projek lain seperti peruntukan tambahan Masjid Kuala Matu yang baharu.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat kekal bersatu dan menyokong sepenuhnya agenda perjuangan kerajaan supaya pelaksanaan projek pembangunan yang dirancang berjalan lancar dan sempurna.

Hadir sama Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsmen) Datuk Dr Juanda Jaya dan Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama-sama tetamu kehormat yang lain semasa majlis perasmian Pesta Matu 2022, di sini hari ini.

Suara Sarawak