KUCHING: Forum Perniagaan Tenaga Sarawak-Korea 2022 akan menjadi platform bagi Sarawak dan Korea Selatan meneroka potensi kerjasama dalam sektor tenaga, khususnya tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen.

Duta Besar Republik Korea ke Malaysia H.E. Lee Chi Beon berkata, terdapat ruang yang cukup untuk kerjasama antara Korea dan Sarawak dalam sektor tenaga.

“Forum Perniagaan Tenaga Sarawak-Korea akan memberi peluang kepada ahli perniagaan Korea untuk menemui potensi pertumbuhan Sarawak dan melaluinya diharap dapat menjadi platform terbaik untuk meningkatkan lagi kerjasama antara Korea dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Forum yang akan berlangsung di Kuching, esok akan turut menyaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan ucaptama bagi perkongsian strategik antara Korea Selatan dan Sarawak dalam sektor tenaga.

Pertama kali dianjurkan melibatkan kerjasama Kerajaan Sarawak dan Kedutaan Republik Korea di Malaysia, forum berkenaan turut mengumpulkan semua pihak berkepentingan dalam bidang tenaga.

Dijangka lebih 100 peserta daripada kedua-dua komuniti awam dan perniagaan menyertai forum perniagaan terbabit untuk meneroka dan mewujudkan lebih banyak pakatan strategik antara negara terbabit dan Bumi Kenyalang.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak