Datuk Abang Iskandar Abang Hashim (tengah kiri) melancarkan Sentencing Guidelines for Wildlife Crimes in Sarawak’ di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuching hari ini.

KUCHING: Pelancaran buku dokumen ‘Sentencing Guidelines for Wildlife Crimes in Sarawak’ membantu para hakim menjatuhkan hukuman yang adil dan saksama serta konsisten bagi kes melibatkan jenayah hidupan liar.

Dokumen mengenai garis panduan untuk jenayah hidupan liar itu merupakan inisiatif Mahkamah Tinggi Sarawak bersama Sarawak Working Group on Environment (SWGE11) dengan sokongan teknikal World Wildlife Fund(WWF) Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif WWF Malaysia Sophia Lim berkata, garis panduan itu akan membantu memajukan pelaksanaan mahkamah di Sarawak sesuai dengan budi bicara kehakiman terhadap hukuman terbabit.

“Sebelum ini, pada 3 September 2012,  Mahkamah Alam Sekitar telah ditubuhkan bagi memastikan keseragaman dalam membuat keputusan kes alam sekitar,  selain menambah baik pentadbiran keadilan kes berkaitan.

“Namun, hukuman yang dijatuhkan bagi kesalahan jenayah hidupan liar oleh mahkamah adalah tidak konsisten dan tidak mencukupi untuk menghalang jenayah berulang.

“Kesan daripada itu, potensi kehilangan hidupan liar tidak dapat dibendung di seluruh negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa teks ucapannya dibacakan oleh Pengarah Pemuliharaan WWF Dr Henry Chan dalam Majlis Pelancaran ‘Sentencing Guidelines for Wildlife Crimes in Sarawak’ di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Ujarnya, usaha yang dilakukan ini merupakan kemajuan yang amat ketara membabitkan usaha Sarawak dalam menangani cabaran dan pelaksanaan hukuman yang sesuai serta konsisten atas penjenayah hidupan liar.

Pelancaran buku dokumen terbabit telah disempurnakan oleh Hakim Besar Sabah Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.

Hadir sama, Ketua SWGE Jason Juga, Pengarah Mahkamah Sarawak Hakim Steve Ritikos, dan Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah Sarawak Nixon Kennedy Kumbong.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak