Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi

KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang untuk memperkenalkan surcaj setiap penggunaan air berlebihan bagi kategori domestik untuk mengatasi masalah pembaziran air dalam kalangan pengguna.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi berkata, pengenalan surcaj sedang dikaji oleh kementeriannya malah jika dilaksanakan ia bukanlah perkara baharu.

“Pengenalan surcaj ini bukan perkara baharu kerana terdapat beberapa negeri dan negara lain yang turut menguatkuasa peraturan terbabit bertujuan menjimatkan sumber air demi masa hadapan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Majlis Raya Gawai kementeriannya di sini, semalam.

Tambah beliau, kadar purata bagi kategori domestik penggunaan air di kawasan bandar adalah 270 liter air sehari bagi setiap individu, serta bersamaan 32,400 liter sebulan seisi rumah.

“Manakala, purata penggunaan air di kawasan luar bandar pula ialah 160 liter sehari seorang yang bersamaan 19,200 liter seisi rumah.

“Purata ini berdasarkan empat orang seisi rumah. Ini bermaksud, purata setiap bulan penggunaan seisi rumah tidak melebihi 35,000 liter.

“Oleh itu, seboleh-bolehnya kita mengalakkan pengguna tidak menggunakan air melebihi 35,000 liter sebulan sebagai langkah penjimatan,” tegasnya.

Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Sarawak telah menanggung subsidi air mengikut tarif RM305 juta bagi tempoh dua tahun iaitu 2020 hingga 2021, tidak termasuk subsidi bagi Bantuan Khas Sarawakku Sayang(BKSS).

Turut hadir Timbalan Menteri Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr. Abdul Rahman Junaid

Suara Sarawak