SEDIA… Datuk Rahman Lariwoo (duduk tengah) bersama barisan jurulatih, pegawai MSNS dan para petinju

KUCHING: Skuad tinju Sarawak mencipta sejarah tersendiri apabila meraih tiga pingat emas, satu perak dan dua gangsa di Kejohanan Golden Gloves 2022, Perlis yang berakhir hari ini.

Pencapaian tersebut sekali gus memberi rekod terbaik kepada negeri Sarawak sejak menyertai kejohanan berprestij itu.

Pada kejohanan tersebut, tiga emas telah berjaya dirangkul oleh Daeloniel Mcdelon Bong atau dikenali ‘Kilat Boy’ dalam kategori 57 kg, Mohammad Hellmi Chieng kategori 67 kg dan Lam Wee Liang dalam kategori 60 kg.

Muhammad Syawal Mohamad Isha pula meraih perak dalam kategori 51 manakala gangsa masing-masing disumbangkan Darren Ch’ng Yong Kui (71kg) dan Hellary Hendry (92kg).

Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) Datuk Rahman Lariwoo berkata, para atlet telah memberikan komitmen terbaik sehingga berjaya melakar pencapaian luar daripada sasaran mereka.

“Kutipan pingat kali ini adalah di luar sasaran kita namun petinju berjaya membuktikan kemampuan mereka walaupun ditentang petinju-petinju berpengalaman.

“Saya berbangga dan berpuas hati dengan prestasi mereka lebih-lebih lagi petinju remaja yang turut berjaya menyumbang pingat,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Tambahnya, kejayaan tersebut membuktikan program pembangunan yang dilaksanakan selama ini membuahkan hasil selepas berjaya melahirkan bakat-bakat baharu dalam pentas tinju.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SCC) dalan menyokong program pembangunan dilaksanakan oleh SABA.

Tegasnya, tanpa sokongan dan dokongan dari semua pihak, adalah mustahil untuk SABA menggerakkan perancangan pembangunan untuk memartabatkan sukan itu di negeri ini.

Terdahulu, Sarawak menghantar seramai 10 petinju dengan tujuh daripadanya merupakan atlet SUKMA manakala tiga petinju dari skuad remaja.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak