Abang Johari melawat pameran sekitar Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2022 Peringkat Sarawak. Turut kelihatan Hamden (dua kanan).

 

PUNCAK BORNEO: Setakat Mei lalu, Sarawak berjaya menanam sebanyak 12.35 juta pokok sekali gus mendahului negeri-negeri lain dalam Program Penghijauan Malaysia.

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Datuk Hamden Mohammad berkata, beliau menjangkakan aktiviti penanaman pokok yang lebih agresif akan dijalankan pada separuh kedua tahun ini.

“Usaha ini adalah bagi mencapai sasaran penanaman 35 juta pokok di seluruh negeri menjelang 2025 untuk memulihara biodiversiti negara di samping memulihkan dan menambah baik kawasan hutan yang terdegradasi,” katanya.

Beliau berkata demikin pada Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2022 Peringkat Sarawak yang dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya Kerajaan Sarawak amat komited terhadap pengurusan sumber hutan yang mampan dengan amalan pengurusan terbaik selama beberapa dekad dan ini termasuk inisiatif dalam pemulihan landskap hutan.

Justeru katanya, Sambutan Hari Hutan adalah bagi meraikan dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan semua jenis hutan di seluruh dunia dan menggalakkan usaha menganjurkan pelbagai program yang melibatkan hutan dan pokok.

Selain program penanaman pokok yang dijalankan di seluruh negeri, sambutan tersebut turut disertai ameran oleh agensi berkaitan termasuk program kesedaran dengan sesi hands-on mengenai pembuatan bola benih untuk kanak-kanak sekolah menengah.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak