Abdul Karim berucap sempena perasmian perlumbaan Spartan di Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak, di sini hari ini.

KUCHING: Dua acara di bawah perlumbaan Spartan iaitu Borneo Trail Classic dan DEKA FIT akan diadakan di Sarawak, tahun ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kementeriannya menyokong penganjuran kedua-dua acara tersebut.

“Borneo Trail Classic adalah sebahagian daripada Siri Kejohanan Dunia Spartan Trail dan merupakan perhentian ketujuh dari sembilan perhentian seluruh dunia.

“Ia akan diadakan di Sarawak pada Oktober 14 hingga 16 di Pusat Redeems, Kampung Apar, Kuching,” katanya ketika berucap sempena perasmian perlumbaan Spartan di Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam, di sini hari ini.

Tambah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan itu, perlumbaan trail ini menganjurkan dua kategori perlumbaan kejohanan dunia iaitu 50km Trail dan 100km Trail Ultra dengan wang kemenangan US$18,000.

Manakala katanya, Sarawak juga akan menjadi tuan rumah bagi acara DEKA FIT di yang pertama di Asia Tenggara pada November ini.

Jelasnya, DEKA FIT merupakan acara dekatlon kecergasan yang membuat penampilan pertamanya pada Spartan 2020 dengan matlamat utama untuk mencipta penanda aras yang boleh diuji di situasi terkawal yang tidak dipengaruhi oleh keupayaan, lokasi atau bentuk muka bumi.

RASMI…Abdul Karim merasmikan perlumbaan spartan di Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak, di sini hari ini.

Suara Sarawak