KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang berusaha mencari pelbagai cara terbaharu untuk menambah sumber pendapatan negeri, kata Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, ia termasuk meminda Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah dan Hutan Sarawak, pada Persidangan DUN baru-baru ini yang bakal menambah pendapatan untuk kerajaan.

“Sekarang kerajaan sedang berusaha meningkat pendapatan supaya kita ada lebih banyak duit untuk membangunkan negeri.

“Antara usaha terbabit selain daripada meminda RUU adalah menjadikan Sarawak negeri pengeluar hidrogen yang merupakan sumber tenaga baharu.

“Manakala untuk masa depan, kerajaan merancang menubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat supaya kekayaan yang kita ada dapat dikekalkan untuk anak cucu pada masa akan datang,” katanya.

Uggah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Agung PBB Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini, hari ini.

Tambahnya, kerajaan turut merancang untuk menjual tenaga lebihan dari projek Hidro Elektrik Bakun ke Sabah dan Kalimantan, Indonesia.

Dalam pada itu katanya, tempoh lima tahun ini turut menyaksikan Sarawak mecapai pelbagai kejayaan cemerlang yang tidak pernah diperoleh sebelum ini termasuk memperoleh semula pelbagai hak autonomi negeri yang tidak pernah dinikmati sebelum ini.

“Kita mencapai semua ini kerana PBB dan Kerajaan GPS dipimpin oleh seorang pemimpin yang berkebolehan, berintegriti, berwawasan, berani, tegas dan pintar mencari punca hasil untuk Sarawak iaitu Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Open,” tegasnya.

Malah katanya, semua cawangan PBB sebulat suara telah bersetuju mengekalkan Abang Johari sebagai Presiden tanpa bertanding untuk penggal 2022-2025 kerana yakin dengan kepimpinannya yang menjamin kestabilan, kemakmuran dan kegemilangan Sarawak.

Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Douglas Uggah Embas

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak