Nordin ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Tertinggi Jabatan Penjara Malaysia 2022 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 Zon Sarawak.

KUCHING: Jabatan Penjara Malaysia menjalinkan kerjasama dengan Perusahan Kecil dan Sederhana di Sarawak dalam menubuhkan Pusat Koreksional Komuniti (PKK) untuk menyediakan pekerjaan kepada bekas banduan.

Ketua Pengarah Penjara Malaysia Datuk Nordin Muhamad berkata ia bagi peluang kedua kepada bekas banduan untuk memulakan kehidupan baru.

“Perkara ini kita perlukan sokongan daripada masyarakat, malah kita lihat keyakinan diri mereka yang terlibat dalam jenayah ini dapat berubah sekiranya pihak keluarga memberi peluang kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Tertinggi Jabatan Penjara Malaysia 2022 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 Zon Sarawak di auditorium Penjara Puncak Borneo, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Penjara Sarawak Mohamad Rosidek Musa.

Nordin berkata, pihaknya kini sedang berusaha bekerjasama dengan PKS yang boleh menempatkan 300 hingga 500 individu untuk pekerjaan.

Jelasnya, ia dilaksanakan secara berpusat seperti yang telah dilaksanakan di Selangor bagi memudahkan penyeliaan dibuat oleh pegawai penjara.

Nordin (dua kiri) memakai pingat tertinggi Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2022 kepada salah seorang pegawai yang turut disaksikan oleh Pengarah Penjara Sarawak Mohamad Rosidek Musa.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak