PILIHAN Raya Umum kali ke-15 bila-bila sahaja boleh diadakan.

Ramai yang meramalkan akan diadakan tahun ini, dan tidak kurang pula menjangkakan pada tahun depan — sesuai dengan penggal Parlimen ke-14 tamat pada Jun 2023.

Kini keputusan terserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, walaupun beliau menerima banyak desakan untuk mengadakan pilihan raya umum termasuk daripada Umno sendiri.

Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno ada memaklumkan bahawa keputusan untuk mengadakan pilihan raya akan beliau umum, sedikit pun tidak akan lambat.

Pun demikian, ada yang memaklumkan masih terlalu awal untuk mengadakan pilihan raya kerana negara masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19 walaupun jumlah kes harian makin terkawal.

Pada masa yang sama, ada yang berpendapat tidak perlu tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya kerana rakyat masih terkesan dengan banyak masalah terutama dari segi ekonomi — sama ada hilang pendapatan disebabkan dibuang kerja ataupun masih ada kerja tetapi gaji pula mungkin dikurangkan.

Jadi fokus sekarang adalah untuk membantu rakyat menempuh saat-saat sukar serta meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga.

Paling utama sekarang untuk memastikan ada makanan di atas meja makan di rumah.

Lagi pun, masih ada banyak lagi masa sebelum penggal parlimen ke-14 tamat — pertengahan tahun depan.

Jadi Calon

Disebabkan pilihan raya makin dekat, pasti akan ada yang tertarik untuk dicalonkan dan kemudian bertanding.

Tidak kurang pula ada yang bersedia untuk mencalonkan diri bagi mewakili mana-mana parti politik yang akan bertanding dalam pilihan raya umum kelak.

Tidak kurang juga artis ataupun pempengaruh media sosial turut menunjukkan minat bertanding merebut jawatan wakil rakyat di kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Malah bukan perkara baharu untuk melihat artis terlibat dalam dunia politik sekarang.

Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak kali ke-12 pada 18 Disember tahun lepas, Cardock atau nama sebenarnya Fadhill Mohamad Isa telah bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Dudong.

Setelah keputusan diumumkan, Cardock yang merupakan pempengaruh media soaial terkenal di Bumi Kenyalang dan bertanding sebagai calon Bebas hanya memperoleh 60 undi.

Ketika itu dia bertanding menentang tujuh lagi calon.

Berbeza dengan Cardock, artis terkenal Dira Abu Zahar pula memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Rim pada Pilihan Raya Negeri Melaka, pada November tahun lepas.

Dira yang bertanding atas tiket Barisan Nasional menang dengan majoriti 1,327 undi menewaskan dua lagi calon selepas memperoleh 4,037 undi.

Dengan kemenangan itu, Dira yang kemudian bergelar Yang Berhormat diangkat sebagai artis pertama menang pilihan raya.

Malah Dira juga artis pertama dan wanita pertama dilantik sebagai timbalan speaker Dewan Undangan Negeri Melaka.

Tewas Pilihan Raya

Sebelum Dira, sudah ada beberapa artis menyertai pilihan raya, namun gagal memenangi hati pengundi.

Herman Tino, Dayangku Intan dan Aishah adalah tiga artis yang pernah merasai bahang pilihan raya sebagai calon.

Herman Tino, penyanyi veteran pernah bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Umum 2013. Pelantun lagu Mengapa Dikenang Mengapa Difikir ini hanya meraih 340 undi.

Beliau berdepan pertandingan tiga penjuru merebut kerusi Parlimen Tanjong Karang.

Anak jati Banting ini kemudian tidak kembali bertanding pada pilihan raya umum berikutnya.

Jelasnya, lebih baik beliau menyanyi menghiburkan mereka yang menang dan mereka yang kalah.

Sementara itu, Dayangku Intan yang pernah popular sekitar tahun 80-an menerusi lagu Kita Insan Biasa juga pernah aktif dalam politik.

Beliau juga pernah bertanding mewakili PKR pada Pilihan Raya Umum 2013 merebut kerusi Parlimen Pengerang.

Seperti juga Herman Tino, Dayangku Intan turut serik berpolitik dan memutuskan untuk tidak lagi mahu bertanding dalam pilihan raya, sebaliknya fokus kepada keluarga.

Dalam pada itu, Dayangku Intan sempat berpesan agar pengundi memilih calon bijak dan boleh bekerja untuk rakyat.

Aishah, pelantun lagu Janji Manismu mula terlibat dalam politik pada tahun 2012.

Beliau memilih untuk menyertai PAS dan pernah menyertai pilihan raya apabila bertanding sebagai calon merebut kerusi Parlimen Jempol juga pada Pilihan Raya Umum 2013.

Aishah menentang bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad.

Aishah juga tewas dan pada tahun 2018, mengucapkan selamat tinggal politik untuk kembali fokus dalam nyanyian.

Selebriti kontroversi Azwan Ali juga pernah bertanding pilihan raya apabila melawan abangnya sendiri — Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merebut kerusi Dun Bukit Antarabangsa pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Azwan bertanding sebagai calon Bebas.

Azwan yang lebih dikenali sebagai Diva AA hanya memperoleh 90 undi. Syamsul Debat, penceramah bebas yang cukup terkenal juga sempat bertanding dalam pertandingan empat penjuru merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Sikamat.

Calon PH Aminuddin Harun menang dengan majoriti 3,413 undi.

Syamsul memperoleh 6,419 undi.

Selepas pilihan raya itu, Syamsul mengumumkan peletakan semua jawatan dalam Umno serta-merta.

Cuba Nasib Dalam Parti Politik

Sebelum melangkah jauh merebut jawatan Yang Berhormat, beberapa artis memulakan langkah awal melalui parti politik terlebih dahulu.

Walaupun bergelar artis popular, ia masih belum dapat menjamin tempat dalam parti politik.

Pelakon, penerbit dan pengarah filem Datuk Afdlin Shauki baru-baru ini tewas kepada Nik Nazmi Nik Ahmad merebut jawatan Ketua Cabang PKR Setiawangsa.

Nik Nazmi memperoleh 482 undi, sementara Afdlin 372 undi. Sebelum itu, Datuk Hans Isaac juga tewas dalam perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Ampang.

Hans yang memperoleh 609 undi tewas kepada Daing Muhammad Reduan Bachok (942 undi). Seorang lagi selebriti — Altimet hanya memperoleh 589 undi. Pelakon yang mula berlakon sejak kanak-kanak, Anne Ngasri pula antara selebriti yang juga aktif dalam politik.

Beliau kini Ketua Puteri Umno Bahagian Bukit Bintang.

Apa-apa pun, penyertaan selebriti dalam dunia politik adalah bukti pengamalan demokrasi di negara ini.

Sesiapa sahaja boleh bertanding mewakili mana-mana parti politik.

Langsung tiada larangan.

Jika tiada parti, boleh bertanding sebagai calon Bebas.

Ada yang diterima pengundi, dan ada juga yang ditolak.

Walaupun popular dan digemari peminat, tidak semestinya diterima sebagai ahli politik. Itu tidak menjadi hal kerana yang penting cuba dahulu.

Hadirnya mereka ini mungkin membawa idea baharu demi kesejahteraan negara dan rakyat.

Mungkin akan ada lagi selebriti atau pempengaruh media sosial yang akan mencuba nasib dalam Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Ini sebenarnya menarik untuk diperhatikan.

Jika ada, mungkin kita berpeluang untuk melihat artis bertembung sesama sendiri merebut sama ada kerusi Dewan Undangan Negeri ataupun Parlimen suatu hari kelak.

Alasannya, selebriti juga mempunyai ideologi politik tersendiri.

Ada selebriti yang pro kepada parti blok kerajaan dan ada yang pro kepada parti blok pembangkang.

Menjadi persoalan, siapa selebriti menjadi pilihan pengundi?

Adakah pengundi memilih atas dasar minat atau popularnya selebriti ataupun pempengaruh media sosial?

Ini yang belum terjawab. Walaupun mewakili mana-mana parti politik, diharapkan mereka benar-benar dapat membantu rakyat yang begitu terkesan dari segi ekonomi sekarang.

Pengundi pula perlu bijak memilih calon yang akan mewakili mereka.

Bukan memilih kerana minat dan hanya memilih artis kesayangan.

Salah pilih, pengundi yang akan merana kerana ia tidak dapat diulang.

Jika hendak diulang sekalipun, ia memerlukan masa lima tahun lagi ataupun jika ada pilihan raya kecil sama ada disebabkan kematian ahli Dewan Undangan Negeri ataupun meletek jawatan sebagai Yang Berhormat di sesuatu kawasan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak