MIRI: Polis menumpaskan satu kumpulan sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen selepas menahan tiga individu termasuk seorang wanita dalam Op Vulture yang dijalankan pada 26 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kesemua suspek berusia antara 27 hingga 31 tahun itu ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Miri.

Katanya, kumpulan ini juga dipercayai terlibat dalam beberapa siri kejadian jenayah khianat dengan cara simbah cat dan gangguan serta ugutan jenayah sekitar Daerah Miri.

Alexson Naga Chabu

“Pihak polis turut merampas beberapa dokumen dan rekod-rekod yang dipercayai telah digunakan dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen dan juga perbuatan simbah cat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dengan penangkapan ini kata Alexson, pihaknya berjaya menyelesai 11 kes melibatkan pinjaman wang tanpa lesen di sini.

Katanya, kesemua suspek terlibat telah dituduh di Mahkamah Majistret Daerah Miri pada 9 Jun 2022 atas 11 pertuduhan secara bersama-sama di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Beliau berkata, kesalahan disiasat di bawah 5(2) Akta Pinjaman Wang Tanpa Lesen 1951 (Akta 400), Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Akta 574), Seksyen 29AA (1) Akta Pinjaman Wang Tanpa Lesen 1951 (Akta 400), Seksyen 29B (2) Akta Pinjaman Wang Tanpa Lesen 1951 (Akta 400), Seksyen 506 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Suara Sarawak