MATU: Kerajaan Sarawak akan menambah jumlah unit rumah untuk projek Rumah Spektra Permata di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) di DUN Jemoreng bagi menampung keperluan penduduk di kawasan itu.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata usaha itu juga berikutan kemudahan yang disediakan bagi melaksanakan projek berkenaan.

“Pada peringkat percubaan kita telah bina 20 unit rumah dan usaha itu membuahkan hasil apabila ada permintaan penambahan jumlahnya.

“Justeru kita mengambil kira untuk membuka lagi SPK, bermakna lot akan kita tambah sama ada 100 atau 80 buah unit pada masa akan datang,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Pesta Matu 2022, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga akan menanggung kos penyediaan infrastruktur di SPK berkenaan.

Menurutnya secara purata, kos infrastruktur termasuk kerja menembok tanah, penyediaan bekalan api dan elektrik, air dan jalan raya menelan belanja kira-kira RM150,000 satu lot.

“Kos ini kerajaan tidak pindah kepada pembeli sebaliknya turut membantu pembayaran pendahuluan sebanyak RM10,000…malah mereka tidak perlu membayar balik,” katanya.

Menyentuh pembinaan Masjid Kampung Kuala Matu, Abang Johari berkata telah mengarahkan Jabatan Tanah dan Survei untuk melihat semula pelan induk projek berkenaan.

Ini kerana katanya, beberapa aspek perlu diambil kira kerana masjid terbabit terletak berhampiran kampung.

“Jika jalan dan masjid sudah ada, kita mungkin akan besarkan kampung untuk manfaat generasi akan datang dengan kawasan SPK yang baharu selain dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk pekan, kawasan rehat dan rawat (RNR) dan lain-lain,” katanya.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melakukan penyerahan simbolik kepada pemilik rumah Spektra Permata sambil diperhatikan yang lain.

Suara Sarawak