KUCHING: Usaha membawa Sarawak dan Sabah keluar dari Malaysia bukan jawapan untuk menuntut semula hak terhakis bagi kedua-dua negeri itu seperti termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Profesor Dr Arnold Puyok berkata, apa yang lebih baik kedua-dua negeri Borneo itu perlu meneruskan usaha untuk menstrukturkan semula sistem Persekutuan Negara yang sedia ada.

“Kita berpeluang untuk menstrukturkan ia semula kerana isu MA63 telah pun mendapat perhatian seluruh negara dan terdapat juga pindaan perlembagaan berhubung MA63 ini. “Kita tahu pembentukan Malaysia dilakukan secara tergesa-gesa, terdapat beberapa perkara yang menyebabkan Sarawak dan Sabah tidak dapat dipertahankan dalam sistem persekutuan Malaysia ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Profesor Dr Arnold Puyok

“Tetapi ia boleh diperbaiki, disebabkan itu perlu ada penstrukturan semula dan pindaan perlembagaan adalah langkah pertama untuk kita menstruktur sistem federalisme Malaysia. Satu lagi cara adalah membenarkan kuasa tertentu kembali ke Sarawak dan Sabah,” katanya. Penganalisis Politik itu berkata demikian semasa webinar mengenai Politik Sabah dan Sarawak dalam Konteks Hubungan Persekutuan – Negeri (2008 hingga 2021) menerusi aplikasi Zoom, semalam.

Tambah beliau, sekiranya Sarawak dan Sabah keluar Malaysia ia akan memberikan impak yang besar terhadap negara. “Kita boleh lihat di beberapa tempat di seluruh dunia telah berlaku pemisahan (keluar negara), terdapat kes perang saudara, pertumpahan darah dan sebagainya.

“Saya pasti kita tidak mahu melihat perkara sedemikian berlaku di Malaysia,” ujarnya. Beliau memaklumkan, isu tersebut juga sering dibangkitkan kerana terdapat segelintir pihak yang percaya bahawa sekiranya Sarawak dan Sabah keluar Malaysia ia akan membawa pembangunan yang lebih baik seperti di Brunei serta Singapura.

Bagaimapaun, menurutnya tadbir urus memainkan peranan yang lebih besar untuk kedua-dua negeri itu menjadi terus maju. “Jika kita membandingkan Sarawak dan Sabah dengan Singapura, kita harus mengelak daripada cuba meniru keadaannya sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dengan sendirinya.

“Kita mesti melihat aspek lain seperti kepimpinan dan tadbir urusnya. “Tidak mustahil untuk Sarawak dan Sabah menjadi semaju Singapura walaupun sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, dan pemisahan juga tidak menjamin pembangunan yang baik.

“Bagi saya, kepimpinan dan tadbir urus adalah dua perkara yang mesti diketengahkan apabila cuba mencontohi Singapura dan negara maju lain,” tegasnya.

Suara Sarawak