DALAT: Sepasang suami isteri yang disyaki mencuri dompet milik pekerja di Grace Light Dobi, di sini berjaya diberkas oleh pihak polis dalam tempoh 24 jam setelah video mereka tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Dalat Deputi Superintendan (DSP) Saga Chunggat berkata, suspek berjaya ditangkap Khamis lalu sekitar jam 2 petang oleh sepasukan unit MPV Mukah yang berjaya mengesan kereta suspek di Jalan Mukah-Balingian.

Beliau berkata, ketika suspek diarahkan untuk berhenti, suspek telah ingkar arahan berhenti dan bertindak memecut kenderaan sehingga berlaku aksi kejar mengejar antara pihak polis dan suspek dalam tempoh 20 minit.

“Bagaimanapun, suspek berjaya dipintas oleh pihak Polis berdekatan Kampung Penipah, Mukah.

“Difahamkan, kedua-dua suspek yang berusia 41 tahun (lelaki) dan 31 tahun (wanita) diberkas mempunyai beberapa rekod jenayah lampau,” katanya kepada Suara Sarawak.

Suspek kini telah ditahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan akan direman untuk siasatan lanjut.

Tambah beliau, kejayaan penangkapan suspek adalah hasil usaha pihak dobi berkenaan yang telah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis dobi dan telah memudahkan pencarian suspek.

Justeru, beliau menyeru orang ramai supaya tidak leka dan cuai meletakan barang berharga di tempat awam.

DITAHAN… Dua suspek mencuri ditahan kurang dari 24 jam selepas kejadian di Dalat

Suara Sarawak