LEPASKAN ANAK KETAM… Safiee Ahmad melepaskan anak ketam sebagai simbolik perasmian
program pembangunan Sungai Iran sambil diperhatikan Ahmad Johnie dan tetamu yang lain

DARO: Asalnya kawasan pendaratan nelayan yang tidak mempunyai tarikan namun kini, Sungai Iran sudah berubah wajah dan bakal menjadi salah satu lagi destinasi wajib untuk dikunjungi jika anda berkunjung ke Daro.

Inisiatif kerajaan mengubah wajah lokasi berhampiran sungai itu terbukti berhasil apabila Sungai Iran menjadi tarikan pengunjung untuk beriadah dan bersantai bersama-sama keluarga sambil menikmati pemandangan indah alam sekitar di kawasan itu.

Adun Daro, Safiee Ahmad berkata, kerajaan memperuntukkan lebih RM500,000 untuk melaksanakan projek berkenaan.

“Ini merupakan salah satu lagi usaha kita untuk menambah tarikan di Daro khususnya Kampung Badong yang terkenal dengan pengeluaran produk berasaskan perikanan dan pertanian,” katanya ketika dihubungi selepas menyempurnakan majlis perasmian Projek Pembangunan Sungai Iran di sini semalam.

Program dianjurkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan Komuniti Nelayan Kampung Badong.

Majlis yang sama turut menyaksikan serah projek siap daripada JKKK Kampung Badong kepada Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD) selaku agensi pelaksana.

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah.

“Kita menyediakan laluan kira-kira 700 meter dari jalan utama untuk pejalan kaki yang ingin melakukan aktiviti riadah.

Kawasan ini juga amat sesuai bagi mereka yang menggemari suasana tenang sambil menikmati keindahan alam,” jelasnya.

Dalam pada Ketua Kampung Badong, Haslimi Hassan berkata, kawasan itu berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai salah satu lagi destinasi tumpuan popular pengunjung.

Selain lokasinya yang berhampiran sungai katanya, tapak rekreasi Sungai Iran amat sesuai bagi mereka yang menggemari aktiviti senaman ringan.

“Saya berharap kemudahan lain seperti tempat letak kenderaan, tandas awam dan lain-lain lagi dapat disediakan di kawasan ini.

Pada masa yang sama, ia boleh menjadi lebih menarik jika kawasan sekitarnya ditanam pokok-pokok bunga dan sebagainya.

“Sehubungan itu, terima kasih kepada wakil rakyat kami yang melaksanakan projek ini,” katanya.

Program diserikan dengan pelbagai acara menarik antaranya, sukaneka, pertandingan memancing dan mewarna.

Hadir sama Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Penolong Jurutera MDMD, Faizuddin Jamaludin, Penghulu Abu Bakar Salleh dan Pengerusi Komuniti Nelayan Kampung Badong, Isuandi Saderi.

TARIKAN BAHARU… Tapak ini bakal menjadi salah satu lagi tarikan baharu di Daro.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak