Abang Johari (tiga kanan) melakukan simbolik perasmian Hari Perhutanan Sedunia 2022 Peringkat Sarawak di Pusat Penyelidikan Hutan Industri di Semenggoh, hari ini. Turut kelihatan Hamden (dua kanan) serta tetamu kehormat lain. – foto UKAS

KUCHING: Taman Orkid akan dibangunkan di Semenggoh, yang bakal menjadikan Sarawak sebagai antara pengeluar orkid dalam pasaran global menjelang dua tahun akan datang.

Justeru, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyuntik dana sebanyak RM5 juta kepada Jabatan Hutan Sarawak (JHS) untuk membangunkan serta menjalankan penyelidikan di Taman Orkid berkenaan, yang akan dilengkapi dengan peralatan digital.

Menurutnya, selain bagi tujuan komersial, Taman Orkid itu juga boleh digunakan sebagai platform untuk sektor swasta belajar tentang pengeluaran orkid serta bunga-bunga lain yang ada di situ.

“Saya mahu orkid ini mesti dapat dijual dalam masa dua tahun kerana itu adalah sebahagian daripada penyelidikan kita dan kalau kita mempunyai spesis yang banyak maka soal karbon dioksida akan dapat kita tangani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Hutan Antarabangsa 2022 Peringkat Sarawak di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah JHS Datuk Hamden Mohammad.

Abang Johari berkata orkid Borneo adalah berbeza malah diyakini mempunyai nilai pasaran yang tinggi jika dihibrid.

Dengan itu, katanya Sarawak akan dapat menjadi antara pengeksport utama orkid ke dalam pasaran global selain Belanda dan China.

“Jadi kita juga boleh mengeksport orkid kerana orkid Borneo adalah sesuatu yang unik.

“Misalnya semasa pameran bunga di United Kingdom, terdapat Orkid SG (Singapura) tetapi sebenarnya ia adalah Orkid Normah dari Lundu namun turut dikenali sebagai Orkid SG,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak