Gambar hiasan

TERINGAT kata menteri, penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti merupakan tapak semaian yang subur bagi memupukkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dan melestarikan kesejahteraan yang mapan.

Kata-kata itu memang ada benarnya, kerana anak-kanak ibarat kain putih yang perlu dicorakkan supaya menjadi pelapis pemimpin masa depan.

Malah, pendidikan awal kanak-kanak amat penting dalam menentukan hala tuju kehidupan mereka pada masa akan datang.

Apatah lagi, lapan tahun pertama merupakan tempoh yang amat penting untuk perkembangan otak kanak-kanak.

Ketika peringkat awal usia, pembelajaran dan perkembangan mental, emosi dan sosial mereka amat kritikal.

Bukan sekadar menyediakan generasi yang mempunyai daya ketahanan untuk menghadapi cabaran dari aspek fizikal dan mental tetapi berupaya membina daya keintelektualan.

Harus diingat, pembinaan bangsa dan tamadun juga bermula dengan pendidikan.

Oleh itu, pendidikan sejak kecil haruslah ditekankan.

Jika direnung kembali, inisiatif yang dilaksanakan untuk memantapkan institusi pendidikan awal khususnya di Sarawak bukanlah sedikit.

Malah, telah bermula ketika anak-anak itu masih di dalam perut ibu lagi.

Penyediaan Tabung Endowment Sarawak (EFS) dalam bentuk simpanan sebanyak RM1,000 bagi setiap kelahiran anak Sarawak sejak 2019 misalnya, menjadi bantuan kewangan yang melambangkan pengiktirafan kerajaan tentang pentingnya ketibaan ahli baharu dalam keluarga, seperti juga bantuan tanda penghargaan yang diberi kepada ibu-ibu bersalin melalui program Bantuan Ibu Bersalin (BIB) yang diperkenalkan pada tahun 2020.

Kedua-dua bantuan ini merupakan inisiatif jangka pendek dan jangka panjang yang diyakini dapat membantu keluarga yang terlibat.

Tanpa sedar, EFS, telah memberi manfaat kepada 65,482 penerima dengan jumlah peruntukan sebanyak RM65.5 juta, sementara seramai 42,219 ibu menerima inisiatif melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM19 juta sehingga 31 Mac tahun ini.

Selain itu, kita juga tidak dapat menafikan kepentingan kewujudan taska yang banyak membantu petugas barisan hadapan meneruskan perkhidmatan kritikal terutama ketika Sarawak berdepan penularan Covid-19.

Usaha Sarawak membuka taska kepada anak-anak lain yang ibu bapa mereka terpaksa bertugas dari rumah harus mendapat pujian kerana berupaya mengurangkan beban mereka yang terikat dengan komitmen tugas masing-masing.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Seri Fatimah Abdullah menjelaskan, 58.75 peratus (84 daripada 143) pendidik mempunyai sekurang-kurangnya diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak, 34 peratus (48 orang) akan tamat pengajian pada 2022, manakala 1.7 peratus (tiga orang) sedang mengikuti pengajian sehingga 30 April tahun ini.

Tidak sekadar itu, sasaran 100 peratus guru Sedidik memiliki sekurang-kurangnya diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak menjelang tahun 2025 melalui kolaborasi dengan Intitusi Pengajian Tinggi Awam dan swasta tempatan.

Usaha meningkatkan kualiti pendidik dan pengasuh tidak hanya berfokus kepada Sedidik semata-mata.

Kerajaan juga menganjurkan pelbagai program bagi memperkasakan peranan dan profesionalisme dalam kalangan pendidik dan pengasuh dari semua agensi.

Walaupun berdepan dengan pandemik Covid-19, tahun lalu kementerian itu ternyata berjaya melaksanakan 12 kursus, latihan dan bengkel secara atas talian yang telah memberi manfaat kepada 3,512 pendidik dan pengasuh seluruh Sarawak.

Suara Sarawak