Antara babak yang dipersembahkan melalui teater Aum Romude

KUCHING: Sempena sambutan ulang tahun ke-45 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebuah pementasan teater bertajuk Aum Romude dipersembahkan di Balai Budaya DBP, di sini, semalam.

Pementasan yang dipersembahkan sekitar satu jam kepada lebih 200 penonton itu mengisahkan tentang ngauman adi wira terhadap perjuangan dalam membela maruah diri.

Ia turut diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.

Hadir sama Pengarah Finas Borneo Mohammad Rizal Mohammed; Sasterawan Negeri Sarawak Ke-3 Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah; Sasterawan Negeri Sarawak Ke-4 Jong Chian Lai; Sasterawan Negeri Sarawak Ke-5 Zainal Abidin Suhaili; Setiausaha Gabungan Persatuan Penulis Nasional Tuan Hamzah Hamdani dan lain-lain.

Menerusi pementasan itu, teater Aum Romude mengajak para penonton untuk berfikir adakah tindakan dalam setiap perjuangan wajar atau tidak.

Abdullah Saidol (empat kiri) bersama-sama yang lain ketika menghadiri majlis pementasan teater DBP

Terdapat 12 karakter utama yang menggerakkan teater tersebut iaitu watak Nek Kebayan, Pelita Alam, Toge, Tok Pembesar, Apoi, Sigat, Indu, Dang Layu, Puteri Serapi, Gergasi, Lehot dan Mat Kilat.

Setiap watak mempunyai peranan masing-masing. Nek Kebayan merupakan seorang wanita yang bersifat mistik. Diikuti Pelita Alam yang menampilkan seorang lelaki tua yang berilmu.

Seterusnya, watak Toge pula merupakan seorang panglima yang bersemangat, tetapi sebaliknya penakut. Tok Pembesar merupakan seorang lelaki berperwatakan tegas tetapi bertoleransi serta mempunyai daya kepimpinan yang baik.

Selain itu, Apoi memainkan watak yang kurang bijak tetapi bersikap jujur, manakala isterinya Indu seorang wanita yang bersemangat dalam melakukan sesuatu perkara. Sigat pula merupakan seorang pahlawan yang agak tergesa-gesa dan bertindak melulu.

Dengan erti kata lain, Aum Romude dipersembahkan melalui gesa dialog, nyanyian dan sketsa komedi itu mengajak masyarakat berfikir tentang pencarian sebenar makna mulus yang bernama perjuangan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak