KUCHING: Kisah misi sekumpulan adi wira menyusun rencana untuk menyelamatkan negeri Gapura Di Bawah Gunung daripada taklukan petualang asing yang menceroboh maruah negeri setelah rajanya bunuh dipersembahkan menerusi Teater ‘Aum Romude’.

Pengarah dan Penulis Skripnya, Jaafar Hamdan berkata teater ini akan dipentaskan esok, Jumaat, 24 Jun bertempat di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.

Beliau optimis sekitar 1 jam teater berkenaan bakal menghidangkan dimensi pengalaman baharu kepada para penonton setelah pentas teater di Sarawak berehat dua tahun ini bagi merungkai konteks ekonomi digital menerusi falsafah lakonan untuk difahami rakyat negeri ini.

“Aum Romude satu eksperimental perspektif kita hendak melihat sekiranya kita melihat sisi perjuangan ia akan menjadi cerita perjuangan tetapi dalam konteks teater ini adalah kemanusiaan menjalani kehidupan sehariannya,” katanya.

Jaafar Hamdan

Jaafar yang juga Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak berkata demikian ketika ditemui selepas Pratonton Teater Aum Romude di Balai Budaya DBCS pada Selasa.

Menurut Jaafar, teater yang bakal mengajak para penonton untuk mentafsir erti peperangan setelah ikon yang muncul di penghujung teater merupakan Pelita Alam lakonan pelakon teater berpengalaman, Jamshari Saili merungkai logik pemikiran barisan adi wira yang menemuinya.

“Jadi dalam konsep ini kita cuba bermain apakah sebenar konsep perjuangan sama ada daripada segi tindakan sahaja ataupun cara kita berfikir,

“Oleh itu pada akhir teater kita menggunakan watak Pelita Alam yang menjadi ikon pemikiran bagi merungkai persoalan daripada permulaan hingga akhirlah…situasi ini sama dengan setiap apa yang kita buat dalam kehidupan seharian untuk membuat keputusan” jelasnya.

Bermain dengan pelbagai elemen perasaan dalam mencapai perjuangan seperti takut, gelisah, drastik atau kelam-kabut kata Jaafar turut dipertontonkan sambil diselang-seli dengan nyanyian pentas.

“Selain itu elemen komedi juga diadun bersama elemen mistik tetapi masih pada rasional serta teater ini bukan mengenai ‘realism’,” ujarnya.

Walaupun sarat dengan pemikiran dan mentafsir falsafah, Jaafar meyakini teater yang dilakonkan oleh kesemua warga kerja Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak itu berupaya menjentik perhatian para penonton.

“Untuk memudahkan penonton faham watak Apoi membawa masyarakat berfikir bukan dalam satu hala memandangkan generasi baharu masih melihat satu hala,

“Sarawak menuju negeri maju mesti ada elemen pentafsiran atau perungkaian fakta atau data yang diberikan…kalau tidak kita tidak memahami…contohnya ekonomi digital yang dihasratkan oleh Yang Amat Berhormat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg masih banyak yang belum dapat mentafsirnya… maka Aum Romude mahu mengekperimenkannya,” jelasnya.

Malahan, beliau memberitahu elemen gurau senda turut mengisi pentas bagi membantu penonton mentafsir plot cerita tegasnya teater Aun Romude bertujuan ingin mengajak rakyat Sarawak memahami konsep Sarawak negeri maju supaya generasi baru menerapkan sikap perungkaian terhadap fakta agar hasrat kerajaan lebih jelas difahami.

Mengharapkan teater sulung DBP Cawangan Sarawak ini meraih perhatian pada malam esok, Jaafar juga meneliti teater serupa akan diketengahkan ke bandar-bandar utama di Sarawak agar seluruh rakyat di negeri ini berpeluang mentafsir falsafah bagaimana Sarawak menuju negeri maju menjelang 2030 nanti melalui lakonan ‘Aum Romude’.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak