MASALAH kekurangan bekalan telur ayam yang tidak menentu diakui memberi kesan kepada pengguna terutamanya peniaga dan penjual makanan.

Bahkan secara amnya di beberapa negeri di Malaysia turut berlaku isu sama.

Bagi salah seorang peniaga kek dari Mukah, Rosliza Abu Bakar,41, mengakui isu kekurangan telur, ketiadaan bekalan telur, tambahan dengan kenaikan harga telur memberi tekanan hebat kepada peniaga.

Rosliza Abu Bakar

Sebagai peniaga kek, dia mencari pembekal sedia ada bagi mendapatkan bekalan telur.

“Namun ia tidak semudah yang disangka, apabila sebilangan pembekal menaikkan harga yang agak tinggi.

“Ini satu lagi masalah kepada kami kerana terpaksa mencari idea bagaimana mahu membuat pelanggan faham sekiranya berlaku kenaikan harga bahan mentah, kami terpaksa menaikkan harga jualan.

“Sebab itu, apabila harga telur naik, kami terpaksa menaikkan harga jualan,” katanya kepada Suara Sarawak sambil menambah, pengeluaran barang jualan juga terhad bergantung kepada bekalan telur.

Justeru tambahnya, dia membuat jualan secara berjadual.

“Maksudnya sekiranya ada bekalan telur ayam, barulah saya dapat membuat kek.

“Alternatif lain saya terpaksa keluar dari Mukah untuk mendapatkan bekalan telur.

“Apa boleh buat walaupun akan meningkatkan kos operasi tetapi itu sahaja pilihan penyelesaian yang ada,” katanya.

Bagaimanapun, Rosliza berharap agar kerajaan memandang serius isu ini kerana sesetengah pembekal mengenakan harga terlalu tinggi.

“Contohnya telur Gred A, harga biasa RM13.50 sekarang mencecah RM18.90.

Pihak berwajib jangan ambil remeh kerana kebanyakan peniaga akan terjejas sekiranya isu ini tidak diatasi dengan segera,” tambahnya.

Manakala suri rumah juga peniaga kuih, Lyncianna Lutter ,32, mengakui telur ayam bukan sahaja diperlukan untuk membuat kuih namun penting bagi keperluan keluarga terutama kanak-kanak.

Lyncianna Lutter

“Anak kecil jadikan ia sebagai makanan perlu. Setakat hari ini, saya terpaksa buat stok untuk membuat kuih dan kegunaan harian,”ujarnya.

Lyncianna berharap, pelanggan dan pengguna dapat memahami situasi berlaku apabila ada tempahan yang tidak dapat disiapkan kerana kekurangan telur sehingga peniaga berhenti sementara menunggu bekalan telur kembali pulih.

Bagi anak Sarawak yang kini menjalankan perniagaan kek lapis jenama Dayah Kek Lapis di Johor, Nurhidayah Mohd Mustapha 33, negeri itu berhadapan harga bekalan telur.

Nurhidayah Mohd Mustapha

“Setakat ini, saya tidak ada mengalami masalah kekurangan telur, tetapi harga memang mahal berbanding sebelumnya.

“Dan, bekalannya agak terhad, kerana dalam saya boleh beli 10 papan sahaja dalam sehari.

“Jadi inisiatif saya sendiri saya akan pergi ke setiap kilang yang menjual telur ayam.

“Dari segi harga kek lapis, saya naikkan sedikit memandangkan harga barang naik.

Ketika dinaikkan harga baharu, sambutan agak perlahan tetapi sekarang pelanggan sudah mula memahami situasi berlaku,” jelas anak jati Kampung Sambir Asajaya ini.

Katanya, harga kek lapis daripada RM20 naik kepada RM22 manakala bagi kek yang berharga RM25 kini RM28.

Sebagai pengusaha kek lapis secara kecil-kecilan, Dayah berharap, harga telur di pasaran terus dipantau agar penternak tidak menaikkan harga jualan yang tinggi kini.

Suara Sarawak