KUCHING: Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM3,100 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan memiliki 0.14 gram Methamphetamine, Disember tahun lalu.

Tertuduh Athari, 27, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memasukkan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam badannya.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15(1)akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan itu, Zubaidah menjatuhkan hukuman penjara terhadap tertuduh selama empat bulan dan menjalani hukuman bermula dari tarikh reman 18 Februari lepas.

Selain itu, tertuduh di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman.

Manakala, pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama, kerana memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.14 gram.

Sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Zubaidah menjatuhkan hukuman denda RM3,100 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak