Tiga remaja ditahan buat aksi ‘wheelie’ di Masja

Individu ditahan menerusi Op Samseng Jalanan yang diadakan di kawasan Masja.KUCHING: Aksi ‘wheelie’ yang dilakukan tiga remaja membawa padah apabila ditahan dalam Op Samseng Jalanan, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, ketiga-tiga suspek berumur antara 18 hingga 20 tahun ditahan di kawasan Masja, di sini.

“Mereka yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk tindakan lanjut.

“Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahaya boleh didenda RM5,000 hingga RM15,000 dan penjara tidak kurang lima tahun serta hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun.

Dalam pada itu, Ahsmon berkata operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching diketuai Inspektor Ngang Kalimpot bersama 14 anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching dan 16 anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Kuching.

Katanya operasi yang bermula jam 4 petang hingga 11 malam itu telah memeriksa 55 buah kenderaan dan 67 orang serta menyita 20 buah motosikal.

Sementara katanya, sebanyak 143 keping saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan.

“Antara kesalahan yang tertinggi adalah ubah suai struktur peralatan kenderaan (22 saman), nombor pendaftaran tidak ikut peraturan (19 saman), tiada cermin sisi (18 saman) serta pelbagai kesalahan lalu lintas yang lain,” katanya.

Beliau berkata, Op Samseng Jalanan akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan pemandu atau penunggang yang memandu atau menunggang secara merbahaya dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya kemalangan maut di daerah ini.

Motosikal yang disita dimasukkan ke dalam lori polis.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak