TUBUH MAKMAL: Abang Johari bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas Pengisytiharan Majlis Konvokesyen Komemoratif, Unimas di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra) Unimas, hari ini. (F: GHAZALI)

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Univerisiti Malaysia Sarawak (Unimas) untuk menubuhkan makmal pertanian di kawasan luar bandar.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, menerusi makmal itu, Unimas boleh melatih masyarakat di kawasan luar bandar khususnya petani muda dalam bidang pertanian moden.

“Berdasarkan kajian saya ketika dalam bidang pertanian dahulu, apa yang saya nampak adalah kelemahan kita dari sudut pengeluaran yang menggunakan proses efisien dan menghasilkan kualiti makanan yang tinggi.

“Sebab itu saya rasa sekarang adalah masa yang tepat untuk menggunakan kaedah digital dalam proses dan industri pertanian supaya ia tidak dianggap berada di bawah (mundur),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu-bual selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Komemoratif, Unimas di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra) Unimas, hari ini.

Abang Johari yang juga Pro-Cancelor Unimas menambah penubuhan makmal tersebut penting kerana pertanian moden boleh menjadi satu industri yang dapat memberikan pulangan bukan sahaja kepada negeri tetapi juga kepada rakyat sendiri.

“Sekarang ini input semua ada tetapi masalahnya adalah bagaimana kita boleh menyakinkan petani dan generasi muda untuk menjadikan pertanian sebagai entiti perniagaan.

“Ini kerana Sarawak mempunyai tanah yang luas dan boleh diusahakan untuk tujuan pertanian sekali gus membolehkan negeri ini menjadi pengeksport makanan,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak