KUCHING: Seorang wanita cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi dan ambulans di lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Bingkok John berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 11.35 pagi.

Katanya, difahamkan ambulans terbabit dari Sri Aman menghala ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menghantar pesakit.

“Ambulans tersebut telah dilanggar pada bahagian hadapan sebelah kiri oleh kereta yang bergerak lurus dari Jalan Green menuju ke Batu Lintang.

“Semasa kejadian, pemandu kereta seorang diri, manakala pemandu ambulans tersebut bersama-sama empat orang penumpang duduk di bahagian belakang terdiri daripada dua kakitangan, pesakit strok dan ahli keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu dan semua penumpang ambulans terbabit tidak mengalami kecederaan.

Manakala katanya, pemandu Perodua Myvi telah dihantar ke HUS untuk rawatan kerana mengalami luka di tangan dan sakit di bahagian dada.

Suara Sarawak