Gambar hiasam

ALURAN media merupakan saluran komunikasi yang paling pantas dan digemari pada masa ini. Ia umpama maklumat tanpa batasan sama ada di media sosial atau di mana-mana platform media yang ada.

Dengan perubahan yang semakin moden kini terutamanya telefon bimbit, sudah tentu segala maklumat berada di hujung jari.

Ini menjadikan maklumat yang disampaikan sangat cepat dan pantas selain meluas tanpa sekatan.

Ini memberi kesan baik dan buruk kepada industri media pada masa ini terutamanya media cetak seperti surat akhbar.

Perubahan ini juga membataskan penyaluran maklumat yang sahih dan tepat kepada pembaca kerana maklumat yang disampaikan kadang-kadang hanya mementingkan populariti berbanding maklumat yang betul.

Ditambah pula pada masa kini ramai orang awam yang suka dan gemar menjadi wartawan klon dengan adanya saluran siaran langsung di media sosial.

Memiliki telefon bimbit kini bukan sahaja untuk berhubung dengan orang lain seperti kegunaannya pada suatu masa dahulu tetapi juga untuk menyebarkan maklumat media sosial seperti aplikasi WhatsApp, Facebook, Tik Tok dan sebagainya.

Ini menjadi cabaran kepada wartawan profesional untuk memberikan maklumat yang tepat dan sahih, paling penting pantas agar pemikiran dan fahaman pembaca tidak terpesong.

Dalam tindakan memberikan maklumat yang tepat ini sebagai wartawan yang dilatih, ia bukanlah suatu perkara yang mudah kerana setiap berita yang ditaip itu mesti mempunyai sumber.

Berita harus mempunyai sumber yang betul dan bukan hanya perlu diuar-uarkan agar diketahui umum sehingga menjadi tular.

Kerap kali kita berdepan situasi panik atau kemarahan pengguna media sosial sebab ada berita yang disampaikan tidak tepat.

Perkara ini amat membimbangkan wartawan kerana golongan ini yang akan menjadi mangsa keadaan sekiranya berlaku isu yang tidak diterangkan dengan betul.

Kita sering berkata bahawa masyarakat di luar bandar adalah golongan yang selalu berprasangka buruk kepada isu-isu yang dibangkitkan terutamanya isu politik.

Tetapi adalah lebih bahaya bagi rakyat yang berada di bandar kerana liputan Internet di bandar lebih meluas dan laju sehingga sukar untuk pihak tertentu mengawal penyebaran berita palsu dan sebagainya.

Hal ini jika tidak dibendung akan menjadikan negara berdepan masalah penyebaran berita yang tidak tepat.

Akhirnya akan terjadilah pergaduhan, saman-menyaman, tuduh-menuduh dan sebagainya sehingga menggugat keamanan negara.

Ada sesetengah isu sensitif seperti isu politik, agama dan bangsa perlu ditapis agar tidak menggugat kesejahteraan awam. Ia bukan untuk menyekat tetapi demi keselamatan dan keamanan negara, sebab itu pengamal media tidak mengeluarkan berita sesuka hati sekiranya tiada fakta.

Namun, isu yang membangkitkan kemarahan, kerisauan, panik dan hal-hal negatif ini menjadi kesukaan wartawan klon yang langsung tidak memikirkan akibat perbuatan mereka.

Ini sedikit banyak mengehadkan fungsi wartawan profesional dalam memberitahu maklumat kerana ada sesetangah pihak enggan bekerjasama dengan mereka lagi akibat perbuatan wartawan klon sebelumnya.

Malah, ada pihak yang mengamalkan prinsip tutup pintu kepada wartawan profesional dalam memberitahu maklumat sebab mereka khuatir sesuatu isu boleh mendatangkan kesan buruk kepada organisasi sekiranya diberitahu kepada wartawan yang salah.

Pihak berwajib harus mengambil tindakan terhadap perbuatan wartawan klon yang sengaja menghangatkan sesuatu isu pada hal isu berkenaan boleh diselesaikan dengan baik.

Malah tindakan undang-undang harus dikenakan demi menjaga keamanan dan kesejahteraan negara kita.

Suara Sarawak