Willie Mongin ketika ditemu-bual, hari ini.

KUCHING: Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin mengesahkan telah mengemukakan permohonan untuk menyertai sebuah parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Tanpa menyatakan parti itu, beliau berkata setakat ini belum lagi menerima maklum balas daripada parti berkenaan namun difahamkan ia adalah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Ya benar, saya sudah mengemukakan permohonan untuk menyertai sebuah parti tempatan dan berharap mereka akan menerima permohonan saya,” katanya ketika ditemu-bual, hari ini.

Selain itu, Willie yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mendedahkan bahawa beliau hanya ‘diletakkan’ di bawah Bersatu bagi menyokong kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Katanya ia memandangkan pada masa itu, beliau tidak mempunyai parti selepas keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Semasa kerajaan bertukar, saya tidak menyertai mana-mana parti tetapi saya tidak menafikan bahawa saya telah ‘diletakkan’ di bawah Bersatu agar dapat memberi jumlah yang cukup untuk menyokong kerajaan pada masa itu.

“Sekarang saya juga masih menyokong kerajaan dan saya berterima kasih di atas bantuan kerajaan sekarang yang telah membolehkan saya berkhidmat untuk rakyat dan membawa banyak kemajuan serta pembangunan di konstituensi saya,” katanya.

Sehubungan itu, Willie berkarap akan terus mendapat kepercayaan daripada Kerajaan Persekutuan dalam membawa kestabilan bukan sahaja di peringkat pusat tetapi juga kerajaan negeri.

“Hanya dengan kestabilan politik dan kerajaan yang stabil, kita akan dapat terus bergerak maju.

“Saya berharap parti tempatan (PBB) yang telah saya kemukakan permohonan dapat mempertimbangkannya dan saya komited untuk bekerjasama bagi kebaikan pengundi di Puncak Borneo, rakyat Sarawak dan negara Malaysia,” katanya.

Willie memenangi kerusi Parlimen Puncak Borneo pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menggunakan tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan memperoleh 18,885 undi dan majoriti sebanyak 4,005 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Genot Sinel yang meraih 14,860 undi serta calon Aspirasi, Buln Ribos yang mendapat 795 undi.

Suara Sarawak